Saturday, January 08, 2005

Masjid Di Acheh

Puluhan masjid Aceh tak jejas

BANDA ACEH: Berpuluh-puluh masjid masih berdiri teguh dengan kubah mereka
terserlah di bawah sinar matahari, di tengah-tengah kehancuran beberapa
bandar di sini ? satu fenomena yang menunjukkan kekuasaan Tuhan di samping
seni bina yang bagus.

Kesan bencana tsunami di utara Sumatera, Indonesia 26 Disember lalu
menyebabkan sebahagian besar rumah dan bangunan di beberapa bandar ranap
akibat dihentam ombak besar.

Namun, di sepanjang pantai yang dilanda bencana, puluhan masjid masih
berdiri teguh.

"Kekuasaan Tuhan menghalang masjid daripada ranap," kata Mukhlis Khaeran,
yang menyaksikan ombak menghanyutkan rumahnya di Baet dekat sini, tetapi
tidak menjejaskan masjid berdekatan.

"Dia menghukum kita kerana ketamakan serta keangkuhan, tetapi Tuhan akan
melindungi rumahnya (masjid)," Khaeran memberitahu AFP, dengan lengannya
cedera kerana bencana yang mengorbankan lebih 100,000 orang di Aceh.

Masjid adalah pemandangan biasa di kebanyakan tempat di Indonesia, terutama
di Aceh, yang dianggap sebagai pintu masuk Islam ke negara kepulauan itu
yang mempunyai paling ramai penduduk Islam.

Meskipun terbabit dalam perjuangan kemerdekaan sejak lama dulu, Aceh, yang
sebahagian wilayahnya melaksanakan undang-undang syariah, terus menjadi
wilayah utama penduduk Islam di Indonesia.

Kepercayaan keagamaan di Aceh serta sekitar Lautan Hindi diuji pada 26
Disember lalu apabila gempa bumi mencetuskan ombak besar yang melanda
pantai dan memusnahkan kawasan terbabit.

Ketika sesetengah penduduk bercakap mengenai kemurkaan Tuhan, beratus orang
berlindung di masjid dalam keadaan panik untuk lari daripada ombak ganas
dan berdoa kepada Tuhan selepas bencana tsunami.

Di perkampungan Kaju, dekat sini, ratusan rumah musnah manakala masjid di
kawasan terbabit hanya mengalami kerosakan dinding.

"Penduduk Aceh berkata masjid adalah rumah Allah dan tiada siapa boleh
merobohkannya melainkan Tuhan sendiri," kata Ismail Ishak, 42, yang
menggali timbunan runtuhan rumahnya untuk mencari tujuh saudara maranya.

Di Pasi Lhok, kira-kira 20 kilometer dari pekan Sigli, utara Aceh, 100
orang yang lari berlindung dalam masjid selamat, manakala hampir setiap
rumah di lima kampung sekitarnya ranap, kata imam besar kawasan itu,
Teungku Kaoy Ali.

Di Meulaboh, pekan di barat Aceh yang terletak 150 kilometer daripada pusat
gempa bumi yang mencetuskan ombak besar maut itu, 10,000 mati tetapi masjid
di bandar itu tersergam di tengah-tengah kehancuran.

Seorang penduduk disini, Achyar berkata, apabila beliau melihat ombak besar
muncul dari laut, nalurinya menyatakan lari ke masjid berhampiran.

"Saya memanjat menara masjid dan memegang kuat kepada wayar elektrik
sehingga air surut.

"Kebanyakan daripada rakan Cina saya lemas kerana mereka berlindung di
tingkat dua kedai mereka," katanya.

Satu penjelasan yang diberi kenapa masjid tidak musnah adalah kebanyakannya
dibina lebih kukuh daripada struktur lain.

Namun, sebuah masjid di Sigli dibina daripada kayu tetapi masih terselamat
walaupun bangunan lain di sekelilingnya musnah.

Masjid Baiturrahman di sini rosak sebahagiannya daripada gempa bumi dan
tsunami, tetapi terbukti berguna sebagai tempat berlindung, hospital untuk
rawat mereka cedera dan kini juga sebagai rumah mayat. ? AFP

Bencana tsunami ujian untuk muhasabah diri

TRAGEDI gempa bumi yang menghasilkan ombak besar tsunami di beberapa negara
di Asia dan Afrika, Ahad minggu lalu menyebabkan ramai yang kehilangan
orang dikasihi dan harta benda mereka.

Kejadian itu banyak berlaku sejak dulu lagi. Kejadian demi kejadian
menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuk pakar geologi, saintis dan kaji
cuaca.

Kajian dan penelitian yang tidak berkesudahan itu hakikatnya masih gagal
mengelak kematian setiap kali gempa bumi melanda. Gempa bumi di Tangshan,
China pada 28 Julai 1976 dilihat terburuk kerana mengorbankan 240,000
nyawa. Tragedi ini sepatutnya mencelikkan mata semua pihak bahawa qada dan
qadar Ilahi tidak mungkin diubah tanpa kehendak-Nya.

Islam sebagai ajaran dan cara hidup sempurna meletakkan al-Quran dan sunnah
sebagai panduan terbaik kepada umatnya. Demikian juga antara wasiat akhir
yang disampaikan Nabi Muhammad saw sebelum kewafatannya. Baginda mengajak
umat manusia agar tidak berganjak daripada landasan asas itu, walau apa
juga keadaan hidup mereka.

Islam menyaran kesabaran dan ketabahan ketika menempuhi kesukaran seperti
ditimpa musibah dan dalam mencapai matlamat. Kesabaran yang menjadi
sebahagian nilai iman juga mampu melahirkan sifat reda terhadap kejadian
seperti yang dapat disaksikan dalam tragedi tsunami.

Kisah pahit nabi dan sahabat seperti yang dijelaskan dalam kedua-dua sumber
utama itu turut menginsafkan kita agar menilai kembali tahap ujian dan
dugaan yang menimpa diri. Pasti Allah tidak membebani umat manusia dengan
perkara tidak mampu mereka tanggung.

Dari sudut berbeza, kita sering tertanya-tanya, adakah bencana yang
diturunkan Allah satu ujian atau balasan terhadap kecuaian manusia?
Walaupun jawapannya milik mutlak Yang Maha Kuasa, sebagai hamba yang lemah
kita wajar sensitif dengan apa juga yang diturunkan-Nya.

Musibah ini mungkin ujian kepada hamba-Nya agar bersabar dan meningkatkan
nilai keimanan. Mungkin juga balasan Allah terhadap hamba yang berdosa dan
lupa dengan kekuasaan-Nya. Ada yang berpandangan bencana ini adalah isyarat
bahawa hari kiamat hampir tiba kerana struktur bumi dan peredaran masa
berubah daripada kedudukan asal.

Tidak kurang yang menyatakan bencana ini perancangan Allah untuk
menyedarkan manusia agar tidak berbalah dan berperang. Kesempatan ketika
turunnya musibah seperti ini berpotensi menjadi platform menjalinkan
kembali hubungan baik dan kerjasama antara pihak bertelagah.

Apa pun tanggapannya, setiap kejadian itu pasti ada motif atau hikmah yang
kadangkala sukar dirungkaikan dengan akal manusia.

Kejadian yang sedang hangat diperbualkan ini adalah rentetan peristiwa yang
disediakan Allah sebagai iktibar kepada umat manusia. Sedar atau tidak,
manusia tidak boleh lari daripada sifat lupa dan atas dasar itu, mereka
perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa.

Sejak zaman Nabi Adam, umat manusia diperlihatkan dengan kejadian yang
menginsafkan. Imbasan satu persatu kisah nabi terdahulu, pasti mengingatkan
kita dengan kejadian yang penuh tragis seperti penyeksaan, pembunuhan, dan
penderitaan. Namun, hakikatnya kesudahan terhadap kisah itu, pasti
menunjukkan hamba-Nya yang berjaya menjalani ujian, memiliki tahap iman
unggul.

Sesungguhnya dalam hidup ini manusia tidak dapat lari atau dipisahkan
daripada ujian terutama bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan dan
berusaha mendapatkan kebahagiaan.

Firman Allah bermaksud: "Dialah Tuhan yang mencipta mati dan hidup untuk
menguji kamu, apakah kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha
Perkasa lagi Maha Pengampun." ? (Surah al-Mulk, ayat 2).

Tanggapan yang menyatakan hidup hanya untuk kesenangan adalah tidak tepat
dan perlu disangkal. Mereka perlu berpandangan setiap perkara mempunyai
nilai bahagia dan sengsara, untung dan rugi atau sihat dan sakit yang
akhirnya mampu meyakinkan seseorang mengenai perlunya beriman kepada qada
dan qadar Allah.

Segala yang diberikan kepada kita adalah seni hidup yang sudah menjadi
sunnatullah kerana itu ukuran terhadap usaha dan iman seseorang. Berjaya
atau tidak seseorang mencapainya terletak kepada sejauh mana kemampuannya
menghadapi ujian itu.

Firman Allah bermaksud: "Alif Laam Mim. Apakah manusia menyangka bahawa
mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman, sedangkan mereka
belum diuji dengan sesuatu percubaan. Dan demi sesungguhnya kami telah
menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang
demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah terhadap orang yang beriman
dan nyata pula apa yang diketahui terhadap orang yang berdusta." ? (Surah
al-Ankabut, ayat 1-3).

Ujian itu kadangkala membabitkan kematian, namun ini adalah hakikat yang
perlu diterima manusia. Kematian adalah penutup segala ujian Allah kepada
manusia. Ahli keluarga dan sahabat si mati perlu reda dengan ketentuan
Allah, di samping mengakui nikmat nyawa dan kemewahan hidup hanya pinjaman.

Firman Allah bermaksud: "Setiap diri akan berasa kematian dan kami ujikan
sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan
kepada Kamilah kamu sekalian akan kembali." ? (Surah al-Anbia, ayat 35).

Oleh itu, kesusahan dan kesakitan dianggap ujian paling ringan untuk
menguji kesabaran dan kerelaan kita menerima qadar dan qada Allah. Namun,
apabila ternyata mampu bersabar, Allah akan meletakkan ganjaran pahala dan
dihapuskan sebahagian dosa. Pada masa itu, kita dapat berasakan ujian yang
dilalui itu adalah nikmat yang amat menggembirakan.

Hakikat itu diakui Rasulullah dalam sabdanya bermaksud: "Setiap orang Islam
yang ditimpa bencana sama ada yang terkena duri atau lebih berat daripada
itu. Maka, itu adalah semata-mata ujian kerananya Allah akan hapuskan
perbuatan kejahatannya dan menggugurkan dosanya seperti pokok kayu
menggugurkan daunnya." ? (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis di atas, wujud pandangan yang menyatakan gempa bumi dan
tsunami adalah perancangan Allah untuk menyucikan dosa umat manusia. Namun,
sejauh manakah kita mampu akur dengan kenyataan ini, jika masing-masing
masih mempertikaikannya. Jika benar musabab ini yang sedang ditunjukkan
Allah, maka sewajarnya semua pihak bermuhasabah diri, terutama terhadap
tanggungjawab dan amanah kepada-Nya.

Sesungguhnya, Dia mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat
daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Beban menanggung resah dan
takut pun tidak dapat ditahan, apatah lagi menjadi mangsa kepada keperitan
itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home