Friday, January 14, 2005

Rasulullah dan tanggungjawab terhadap keluarga

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu
menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan
keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap
di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan
bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau
selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau
cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah
selesai sembahyang."

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu
itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah
pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi
bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan
mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')

'Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai
Rasulullah."

Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa
sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul
isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"

Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras
kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."

"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan mengapa
engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"

Pernah baginda saw bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik
dan lemah lembut terhadap isterinya."

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga
langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,
pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.

Sayidina Umar ra yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung
bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat
seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya
Rasulullah?"

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."

"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami
mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau
sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. = "urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags" />Para sahabat amat
terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang
berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang
menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya
makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"

Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa
pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di
hadapan ALLAH nati, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada
umatnya?"

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak
tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang
kelaparan di Akhirat kelak."

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang
tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain
rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas
merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh
tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan
lembut perbuatan itu.

Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri
kita... adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini?
Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media
massa, hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang
tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia
yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata
kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah.

Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah?
Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan
menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya.
Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat
bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan
mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad
itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai
kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH
swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw
menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab
untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam
keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk
baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari,
terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran
kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung
kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya
Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih
bersusah payah begini?"

Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah
seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

...orang beriman...bila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka...

Yahoo! Messenger - Communicate instantly..."Ping" your friends today!
Download Messenger Now

1 Comments:

Blogger aaa said...

Cahaya keinsafan terus menyelubungi diri...

3:09 PM  

Post a Comment

<< Home